Pelancaran Tukun Tiruan Rekreasi Manfaatkan Nelayan Lawas

Disiarkan pada 13 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


LAWAS: Sebanyak 64 unit tukun tiruan rekreasi dilancarkan di perairan Kampung Punang dan Kampung Awat-Awat pada Selasa, bagi memelihara sumber perikanan serta menghalang pencerobohan pukat tunda.

Majlis pelancaran anjuran Jabatan Perikanan Laut Sarawak itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Dalam ucapan perasmian yang dibacakan oleh Dato Henry, Datuk Amar Awang Tengah menegaskan bahawa pemasangan tukun tiruan bukan sekadar pemuliharaan habitat marin, malah mampu merangsang ekonomi komuniti melalui aktiviti perikanan dan pelancongan rekreasi laut.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM7 juta di bawah RMKe-12 (2021–2025) bagi pembangunan akuakultur air payau di Sarawak melalui Program SPeKS, termasuk RM283,000 yang memanfaatkan 19 penternak di Lawas.

“Bantuan yang ditawarkan kebanyakannya merangkumi aspek input operasi, peralatan mudah alih dan sistem ternakan dan ditawarkan kepada semua penternak/pengusaha akuakultur yang berpotensi dan berkelayakan, daripada kategori pengusaha kecil hingga pengusaha komersial, serta penternak di bandar mahupun luar bandar,”jelasnya.

Selain itu, 20 nelayan menerima alat bantu pelayaran (GPS) di bawah program Pembangunan Modal Insan Kumpulan Sasar Perikanan, sebahagian daripada peruntukan RM2.3 juta bagi meningkatkan keselamatan nelayan di laut.

Majlis diserikan dengan gimik pelancaran tukun, penyerahan bantuan SPeKS, penyampaian GPS, serta penyerahan cenderamata sebelum para tetamu berlepas ke laut untuk melaksanakan pelancaran tukun tiruan.

Turut hadir ialah Pengarah Perikanan Laut Sarawak, Abdul Rahman Abdul Wahab; Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok; serta ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat setempat.-EDISI UKAS