KUCHING: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjadi rakan strategik utama Sarawak dalam memperkasa pengeluaran benih padi berkualiti sebagai langkah mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras import.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan, keluasan tanah dan potensi besar yang dimiliki Sarawak perlu disokong dengan keupayaan menghasilkan benih padi yang sesuai dengan struktur tanah tempatan bagi memperkukuh pengeluaran padi negara.
“Kalau MARDI dapat membantu memperbanyakkan benih berkualiti untuk Sarawak, kita boleh tanam lebih luas, hasilkan lebih banyak padi dan akhirnya mengurangkan pergantungan kepada import dari Vietnam atau Kemboja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Padi Kebangsaan 2025 di sini pada malam Selasa.
Premier Sarawak menambah, kerajaan negeri memperuntukkan 14,000 hektar tanah di lokasi strategik termasuk Tanjung Bijat, Sri Aman, Lingga, Simunjan, Lundu, Spaoh, Limbang dan Lawas yang dijangka menghasilkan 240,000 metrik tan beras.
“Jika keluasan tanaman digandakan, pengeluaran mampu mencecah 500,000 metrik tan jauh melebihi keperluan rakyat Sarawak dan boleh dibekalkan ke seluruh negara,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi kejayaan projek perintis di Gedong yang berjaya meningkatkan hasil padi daripada 1.2 tan kepada 8 tan sehektar menerusi penggunaan benih baharu, kaedah moden dan jentera, sekali gus membuktikan bahawa teknologi serta penyelidikan mampu melonjakkan hasil pertanian negeri.
Selain itu katanya, Sarawak turut giat membangunkan pengeluaran baja tempatan dengan memanfaatkan hasil sampingan kelapa sawit dan gas untuk menghasilkan urea, agar pengeluaran padi tidak bergantung sepenuhnya kepada bekalan baja import.
“Kalau kita dapat mengeluarkan benih dan baja sendiri, ditambah kaedah moden serta sokongan MARDI dari segi penyelidikan, Sarawak bukan sahaja mampu capai sara diri tetapi juga membantu negara mengurangkan bil import beras,” tegasnya.
Beliau yakin dengan kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan dan MARDI, Malaysia mampu muncul sebagai pengeluar padi utama di rantau ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato Sri Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak, Setiausaha Tetap M-FICORD, Datuk Sirai Daha, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Dr Azman Ismail, dan Ketua Pengarah MARDI, Dato Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.-EDISI UKAS