Pelbagai Inisiatif Perkukuh Ekonomi Pekebun Kecil Sarawak

Disiarkan pada 12 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUALA LUMPUR: Pekebun kecil di Sarawak bakal menikmati manfaat daripada pelbagai program strategik yang dirangka kerajaan bagi memastikan pendapatan mereka kekal stabil meskipun berdepan ketidaktentuan harga komoditi dunia.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, inisiatif di bawah Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) merangkumi perlindungan harga, skim pembiayaan berfaedah rendah, bantuan input pertanian, dan program peningkatan produktiviti untuk pelbagai komoditi utama negeri itu.

Antara tumpuan ialah Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang mula menetapkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) pada RM3.00 sekilogram bagi getah cuplump bermula tahun ini.

Skim ini bukan sahaja melindungi pekebun kecil daripada kejatuhan harga, malah menggalakkan penggunaan teknologi serta amalan pertanian moden.

Bagi pekebun kecil sawit, kerajaan menyediakan Program Integrasi Tanaman dan Ternakan (ITa & ITe), Skim Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0), dan Skim IPPKS untuk mempelbagaikan sumber pendapatan serta mengekalkan produktiviti kebun.

Komoditi lain turut menerima perhatian, termasuk Program Pemulihan Kebun Koko yang melibatkan 555 pekebun kecil dengan bantuan input dan teknologi, serta bantuan penanaman lada melalui Skim Tanaman Lada Baharu (STLB), Skim Tanaman Lada Matang (STLM) dan Program Pembangunan Pengeluaran Lada Premium (PPLP).

Menurut KPK, strategi menyeluruh ini membolehkan komuniti tani Sarawak terus berdaya saing, mengurangkan kebergantungan pada satu sumber komoditi, dan memperkukuh ekonomi luar bandar meskipun pasaran global tidak menentu.-EDISI UKAS