Lawatan Kerja Timbalan Menteri Pendidikan Sarawak Fokus Tiga Sekolah di Saribas

Disiarkan pada 12 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


DEBAK: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee, melahirkan rasa puas hati terhadap perkembangan projek dan program pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sebemban, SK Datuk Bandar Debak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas, Debak.

Beliau memaklumkan, proses pemindahan SK Sebemban ke bangunan baharu berjalan lancar dan dijangka dapat dilaksanakan pada awal tahun depan.

“Progres amat baik sekali. Kita hanya menunggu pemasangan perabot. Sekiranya semua siap mengikut jadual, insya-Allah bulan Disember ini segalanya dapat diselesaikan dan sekolah boleh berpindah pada awal tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja bersama rombongan daripada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) pada Isnin.

Mengenai projek SK Datuk Bandar Debak pula, beliau menjelaskan pihak kementerian masih menunggu kelulusan terhadap sedikit perubahan skop projek.

“Perubahan ini tidak mengambil masa panjang. Kita akan follow up dalam seminggu atau dua supaya tender dapat dikeluarkan dan pembinaan dimulakan sama ada pada awal atau hujung tahun ini. Hasrat kita, projek ini mesti berjalan pada tahun ini juga,” jelasnya lagi.

Sementara itu, lawatan ke SMK Saribas memberi tumpuan kepada pelaksanaan Sarawak Educational Enhancement Program (SEEP) yang memfokuskan kepada pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5 yang memerlukan bimbingan tambahan dalam mata pelajaran teras.

Dalam hal ini katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM20 juta bagi menyediakan tuisyen percuma di seluruh Sarawak menerusi program tersebut.

“Saya berpuas hati melihat pelaksanaan di sekolah ini. SMK Saribas juga menunjukkan prestasi membanggakan, termasuk berada dalam senarai 10 sekolah terbaik Tingkatan 6 di seluruh Sarawak, selain peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) Tingkatan 5 setiap tahun,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan lawatan kerja itu, termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) serta pihak sekolah.

“Secara keseluruhan, lawatan ini memberi gambaran jelas tentang situasi di peringkat akar umbi, sekaligus membantu kita membuat tindakan susulan dengan lebih berkesan,” tambahnya.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Saribas Datuk Mohammad Razi Sitam, Setiausaha Tetap MEITD Adana Jed, pegawai kanan kementerian, guru besar, pengetua serta wakil kepimpinan masyarakat setempat.-EDISI UKAS