KANOWIT: Pembinaan Jalan Nanga Bat–Nanga Pra kini telah mencapai 70 peratus dan djangka dapat disiapkan mengikut jadual.
Perkara itu diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana semasa menyempurnakan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Ai, Nanga Sesamak, Sungai Ngemah, pada Sabtu.
Katanya, proses tender bagi kerja-kerja menurap Jalan Nanga Ngungun–Nanga Bat pula dijangka ditutup pada 18 Ogos 2025 sebelum kerja penurapan dimulakan oleh kontraktor yang dilantik.
“Kerja-kerja penurapan jalan tersebut akan dipantau oleh JKR Sibu sebagai agensi pelaksana.
“Sementara itu, pembinaan Jalan Nanga Bat–Nanga Pra kini telah mencapai 70 peratus dan diharap dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.
Dalam ucapan sama, beliau turut menyeru ibu bapa untuk memainkan peranan penting dalam menentukan pencapaian akademik anak-anak.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai bantuan pendidikan termasuk yuran pengajian percuma di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri bermula 2026.
“Pusat Khidmat ADUN Ngemah juga menyediakan insentif akademik kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM serta mereka yang melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda,” tambah beliau.
Pada majlis itu, ADUN Ngemah turut meluluskan geran MRP berjumlah RM8,000 kepada JKKK Rumah Ai bagi menyokong aktiviti tahunan mereka.
Turut hadir Timbalan PTK MiRRDA Dr. Andrew Mail Sanggong, wakil IPD Kanowit Sarjan Bidat Pemanca Charlie Salang, Penghulu Pree Minggat, ahli-ahli majlis, serta 18 Tuai Rumah dengan keseluruhan kehadiran seramai 180 orang.-EDISI UKAS