BINTULU: Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Peringkat Daerah Bintulu berlangsung meriah di Dewan Masyarakat Jepak hari ini, menandakan kesinambungan jelajah konvoi patriotik di seluruh Sarawak sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Majlis disempurnakan oleh Pengiran Dato’ (Dr.) Ts. Daud Pengiran Putera yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee pada Isnin.
Turut hadir Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak merangkap Ketua Konvoi KMJG 2025, Adillatul Hasif Nasah; Wakil Residen Bintulu, Baithy Tini Nikey; Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bintulu, Kapten Mohd Johari Mohd Taufik; wakil Bintulu Port Holding Berhad, Muhamad Badrul Aminuddin Tani; dan Penghulu Idil Ismail.
Dalam ucapannya, Pengiran Dato’ (Dr.) Ts. Daud menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan, khususnya konvoi KMJG 2025 yang memulakan perjalanan sejak 2 Ogos lalu merentasi 22 lokasi dari Lundu hingga Lawas dengan jarak keseluruhan 1,810 kilometer.
Beliau menyeru rakyat untuk terus menyemarakkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis kerajaan, swasta, kediaman, rumah panjang, kampung dan kenderaan masing-masing selaras dengan kempen Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.
“Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan negara yang perlu dihormati. Kibarkanlah ia dalam keadaan sempurna kerana ia mencerminkan imej negara, khususnya di mata pelancong luar,” tegas beliau.
Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, turut ditekankan sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam membina negara berteraskan nilai kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraan sosial.
Sementara itu, Ketua Konvoi KMJG 2025, Adillatul Hasif menyeru masyarakat, khususnya Komuniti MADANI, menjadi ejen penyebar maklumat sahih bagi memerangi berita palsu serta mempromosikan dasar dan kempen kerajaan.
“Konvoi KMJG bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi juga perjalanan hati dalam memupuk rasa cinta kepada tanah air. Ia menggabungkan pelbagai aktiviti patriotik seperti pentas hiburan, ceramah dan program kemasyarakatan bagi menyemai semangat merdeka dalam kalangan rakyat,” katanya.
Majlis diakhiri dengan pelepasan konvoi dan pengibaran Jalur Gemilang oleh peserta, termasuk wakil komuniti tempatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Bintulu Port, dan Komuniti MADANI Bintulu, yang menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan di bumi Bintulu.-EDISI UKAS