Kementerian Tenaga & Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Tubuh Jawatankuasa CCUS

Disiarkan pada 28 May 2024
Sumber Berita: UKAS





KUCHING: Kementerian Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Induk Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, matlamat utama penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk memudahkan pembangunan dan pelaksanaan agenda CCUS di Sarawak selari dengan matlamat perubahan iklim negeri ini.

Katanya, Jawatankuasa ini terdiri daripada Peguam Negeri Sarawak (SAG), Setiausaha Kewangan Sarawak (SFS), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR -Jabatan Tanah dan Survei), Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED -Invest Sarawak), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan
Pelabuhan (MIPD), Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu (MOFNE), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Brooke Holdings Sdn Bhd.

"Jawatankuasa ini juga terdiri daripada wakil daripada agensi kerajaan dan syarikatberkaitan kerajaan (GLC) dengan kepakaran yang berkaitan dengan bidang masing-masing.

"Penubuhan jawatankuasa ini akan memfokuskan beberapa aspek seperti memudahkan penglibatan pihak berkepentingan serta penyelesaian masalah dan pembangunan penyelesaian untuk mengenal pasti dan meneroka penyelesaian kepada isu-isu utama yang boleh menghalang pelaksanaan CCUS yang berjaya di Sarawak.
"Selain itu, jawatankuasa ini juga bertindak sebagai badan pengenalpastian keperluan
yang menyeluruh di mana aktiviti mengumpul dan menganalisis semua cabaran yang penting serta peluang yang berkaitan dengan CCUS," katanya.

Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.
Datuk Dr Hazland menambah, jawatankuasa ini juga akan bertindak sebagai unit pelaporan dan cadangan yang akan menyediakan laporan komprehensif kepada Premier Sarawak.

"Laporan tersebut akan menggariskan dapatan jawatankuasa, cadangan untuk tindakan lanjut, dan langkah-langkah seterusnya yang mungkin serta mampu mendorong perbincangan dan kerjasama di kalangan semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam projek CCUS di Sarawak," tambahnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, satu mesyuarat pertama jawatankuasa yang dipengerusikannya telah berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Isnin.

Dalam mesyuarat tersebut, beliau juga menjelaskan Pindaan Ordinan Hutan dan Kanun Tanah serta Persekitaran yang telah digubal (Pengurangan Pembebasan Gas Rumah Hijau) Ordinan 2023 membolehkan Sarawak berada di peringkat lanjutan untuk memperjuangkan CCUS dan aktiviti perdagangan karbon di Malaysia.

Ahli mesyuarat telah diberikan taklimat berkaitan Projek Pembangunan Lapangan Gas Kasawari Fasa 2 yang disampaikan Pengarah Projek pihak PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) Izrie Ghazali. -EDISI UKAS