KUCHING: Atlet tenpin boling dari Sarawak, Gillian Lim melakar sejarah tersendiri apabila muncul rakyat Malaysia pertama memenangi Anugerah Professional Women’s Bowling Association (PWBA) Rookie of the Year 2025.
PWBA mengumumkan Gillian (26 tahun) sebagai pemain terbaik baharu musim ini dengan pungutan 37,230 mata, mengatasi Jade Cote dari Kanada (23,615) dan Kirsten Moore dari Amerika Syarikat (17,645).
Beliau mendahului semua pemain baharu dalam kategori mata, pendapatan dan pencapaian 12 teratas, mengukuhkan statusnya sebagai bintang tenpin boling yang semakin mencipta nama di pentas dunia.
Anugerah ‘Rookie of the Year’ diberikan kepada pemain yang membuat penampilan pertama dalam Jelajah PWBA.
Gillian kini menjadi salah seorang daripada hanya empat pemain antarabangsa luar Amerika Syarikat yang memenanginya sejak jelajah itu dilancarkan semula — satu pencapaian yang menyerlahkan kecemerlangan sukan tenpin boling Sarawak.
Di awal penyertaannya di pentas antarabangsa, beliau menampilkan persembahan cemerlang di beberapa kejohanan utama termasuk PWBA Go Bowling Topeka Open, USBC Queens, PWBA Summer Series – Cleveland, PWBA Bowlers Journal Waterloo Open, U.S. Women’s Open dan PWBA Tour Championship Week di Amerika Syarikat.
Dibesarkan di Miri, Gillian mula bermain boling pada usia lapan tahun ketika bersekolah di SK dan SMK St. Joseph Miri.
Beliau merupakan graduan Kolej Sunway dan ahli cemerlang Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS), mewakili Sarawak dalam SUKMA dan Kejohanan Antara Negeri.
Gillian menyertai Pasukan Belia Kebangsaan Malaysia pada 2018, melangkah ke Program Podium pada 2020, dan kekal sebagai anggota penting Pasukan Kebangsaan Malaysia.
Dalam temubual bersama Penyelaras ABAS, Gillian meluahkan rasa syukur dan bangga di atas penganugerahan tersebut.
“Ini bukan kemenangan saya sahaja — ini kemenangan untuk Sarawak dan Malaysia.
“Saya berharap perjalanan saya memberi inspirasi kepada bakat-bakat muda di tanah air untuk bermimpi besar dan berusaha bersungguh-sungguh, kerana tiada yang mustahil,” katanya.
Kejayaan Gillian adalah bukti dedikasi dan disiplin selama bertahun dan dikukuhkan dengan minat yang mendalam terhadap sukan ini. - EDISI UKAS