Pusaka Timber Industries Meterai 2 MoU Untuk Jalankan Penilaian Komersial Pembangunan Ladang Buluh

Disiarkan pada 28 May 2024
Sumber Berita: UKAS



CHINA: Pusaka Timber Industries Sdn Bhd telah memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama G-COVE Technologies Co Ltd dan Sichuan Vanov New Materials Co Ltd pada Ahad.

 

Pemeteraian MoU ini membuka jalan kepada ketiga-tiga pihak untuk menjalankan penilaian komersial terperinci pembangunan ladang buluh, pulpa dan produk berasaskan gentian di Sarawak. 

 

Anggaran jumlah pelaburan untuk pembangunan projek yang dicadangkan adalah kira-kira USD400 juta (RM1.8 bilion).

 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang telah menyaksikan pemeteraian dua MoU tersebut berkata, pakatan strategik ini boleh memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk memperoleh kelebihan daya saing dalam produk berasaskan gentian buluh bernilai tambah tinggi di pasaran global. 

 

“Selain daripada aliran masuk modal, ia akan menggalakkan pemindahan teknologi, pemindahan pengetahuan dan peluang pekerjaan. 

 

“Ini selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 untuk mengubah Sarawak menjadi negeri maju melalui kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

 

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Penasihat Khas Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Dato Sri Naroden Majais, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Zainal Abidin Abdullah dan pegawai kerajaan lain.

 

Pusaka Timber Industries Sdn Bhd merupakan anak syarikat PUSAKA Capital Sdn Bhd di mana perniagaan terasnya adalah industri pemprosesan berasaskan kayu di Sarawak. 

 

Pada masa ini, Pusaka Timber Industries sedang meneroka peluang untuk melabur dalam industri berasaskan buluh di Sarawak.  

 

Sementara itu, Sichuan Vanov New Materials Co. Ltd mempunyai produk pulpa bersepadu dan berasaskan gentian buluh di Meishan, China.

 

Bagi menampung permintaan yang semakin meningkat untuk produk berasaskan gentian buluh mesra alam seperti tisu, kain lap basah, kotak acuan dan lampin, Sichuan Vanov New Materials Sdn Bhd mempertimbangkan Sarawak sebagai pangkalan untuk mengembangkan kapasiti mereka untuk memenuhi permintaan pasaran.

 

Manakala, perniagaan teras G-COVE Technologies Co Ltd adalah mengeluarkan kotak acuan untuk makanan, pembungkusan perubatan dan industri menggunakan pulpa buluh yang dihasilkan oleh Sichuan Vanov New Materials Co Ltd. 

 

G-COVE merancang untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran mereka untuk kotak acuan yang disahkan halal kepada memenuhi permintaan tinggi daripada pasaran Muslim. -EDISI UKAS