Ujian DLP Sarawak Bermula 15 Oktober, Fokus Nilai Prestasi Sekolah dan Murid

Posted on 10 Aug 2025
Source of News: UKAS


SIBU: Ujian Program Dwibahasa (DLP) bagi Sekolah Kebangsaan (SK) di Sarawak akan dilaksanakan pada 15 dan 16 Oktober ini, melibatkan tiga mata pelajaran iaitu Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr. Annuar Rapaee, berkata ujian tersebut bertujuan menilai keberkesanan pelaksanaan DLP, bukannya untuk menentukan kedudukan atau ranking sekolah.

“Kita hanya mahu mengetahui tahap pencapaian pelajar dan prestasi sekolah. Tidak akan ada pengumuman sekolah terbaik atau kedua terbaik. Laporan hanya akan memaklumkan bilangan pelajar yang cemerlang dan yang di bawah purata, bagi membolehkan kita membantu sekolah yang lemah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada sekolah-sekolah di kawasan DUN Nangka di SMK Agama Sibu, pada Ahad.

Datuk Dr. Annuar menjelaskan, format pemarkahan ujian ini akan mengikut sistem Cambridge Certificate of Education (IGCSE) dan bukannya kaedah tradisional berdasarkan gred A, B atau C.

Soalan akan disediakan secara tempatan, namun disemak dan diluluskan oleh Cambridge University Press and Assessment (CUPA) untuk memastikan tahap kesesuaian serta kualiti menepati piawaian antarabangsa.

Beliau menambah, aspek integriti peperiksaan diberi penekanan tinggi. Kertas soalan akan dicetak di luar Sarawak dan diklasifikasikan sebagai sulit, dengan tiga set soalan disediakan.

Pemarkahan pula dilakukan oleh pemeriksa dari luar kawasan di pusat pemarkahan yang dirahsiakan, membabitkan tiga lokasi iaitu zon tengah (Universiti Teknologi Sarawak), zon utara dan zon selatan.

“Pemeriksa tidak dibenarkan membawa skrip keluar dari bilik pemarkahan. Semua proses dilaksanakan secara profesional untuk memastikan ketelusan dan meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap integriti peperiksaan,” tegasnya lagi.

Ujian ini hanya melibatkan SK yang melaksanakan DLP, manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tidak terlibat kerana tidak menggunakan program tersebut.

Menurut beliau, keputusan ujian akan menjadi asas penawaran kemasukan ke program tertentu di bawah Yayasan Sarawak, menggantikan kaedah terdahulu yang memerlukan permohonan dan penilaian guru besar.

Dalam perkembangan lain, Dr. Annuar memaklumkan Sekolah Yayasan Sarawak akan berpindah ke bangunan baharu menjelang akhir September ini, melibatkan 98 pelajar Tahun 7.-EDISI UKAS