KOTA SAMARAHAN: Sukan Muay Thai terus mendapat tempat dalam kalangan belia Sarawak menerusi penganjuran Kejohanan ‘MTK X NAO ProFight’ 2025, yang berlangsung di Medan Selera Nasi Abe / Gudang Abe Rich, Kota Samarahan, pada Sabtu.
Kejohanan ini bukan sahaja memperlihatkan kehebatan atlet tempatan dalam gelanggang, malah turut menjadi platform strategik untuk menyemai minat, mendidik disiplin, serta membentuk sahsiah dan jati diri belia melalui seni bela diri.
Acara ini dianjurkan oleh Kelab Muay Thai Kenyalang dan Nasi Abe Original dengan kerjasama Persatuan Muaythai Samarahan, Muaythai Kuching, dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) serta sokongan daripada Persatuan Muaythai Malaysia.
Turut hadir memeriahkan kejohanan ialah Ahli Dewan Negara merangkap Penaung Kelab Muay Thai Kenyalang Senator Dato Ahmad Dato Sri Ibrahim yang berkesempatan menyaksikan beberapa perlawanan, beramah mesra dengan atlet dan penyokong, serta menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Menerusi satu kenyataan beliau pada Sabtu, Dato Ahmad menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran kejohanan seperti ini yang dilihat mampu menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia sambil memperkukuh semangat kesukanan dan perpaduan komuniti.
Kejohanan ini menjadi bukti bahawa sukan Muay Thai bukan sekadar satu bentuk seni tempur, tetapi juga medium efektif dalam pembangunan modal insan belia, sejajar dengan aspirasi negeri untuk melahirkan generasi muda yang cemerlang dalam bidang sukan dan kepimpinan. -EDISI UKAS