FTLA Zon Utara 2025 Angkat Warisan Seni Budaya Sarawak

Posted on 10 Aug 2025
Source of News: UKAS


MUKAH: Festival Tari dan Lagu Melayu Asli (FTLA) Ke-35 Peringkat Zon Utara 2025 bukan sahaja menjadi medan persaingan bakat, malah turut memainkan peranan penting dalam memelihara dan memartabatkan seni budaya tradisional masyarakat Melayu Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, program anjuran Majlis Seni Sarawak (MSS) ini menjadi platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang seni tari dan nyanyian tradisional, di samping memperkasa karya seni anak jati tempatan.

Katanya, FTLA merupakan satu inisiatif berharga dalam usaha memastikan warisan budaya Melayu terus hidup dan dihargai generasi muda.

"Kita dapat menyaksikan kemunculan bakat-bakat dari Zon Utara, khususnya para pemenang yang akan mewakili zon ini ke pertandingan peringkat negeri dalam masa terdekat," ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MSS atas komitmen mereka dalam menganjurkan program seumpama ini yang bukan sahaja bersifat kompetitif, tetapi juga mendidik dan mengangkat martabat seni tempatan.

Dalam pada itu, Royston turut menyuarakan harapan agar program ini diteruskan pada masa akan datang, sama ada secara tahunan atau dengan pendekatan yang lebih inklusif.

"Mungkin selepas ini pihak MSS boleh memperluaskan penganjuran hingga ke peringkat akar umbi, termasuk sekolah rendah dan menengah, supaya usaha memupuk serta memperkasakan budaya melalui tarian dan lagu dapat diperkembangkan secara lebih meluas," katanya lagi.

Bagi kategori Lagu Melayu Asli (Lelaki), johan dimenangi oleh Sharfiq Armin Sulaiman, manakala tempat naib johan disandang oleh Muhamad Zahir Bn Raimie dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Ibrahim Yusof.

Sementara itu, dalam kategori Lagu Melayu Asli (Perempuan), Azarida Adenan muncul sebagai johan, diikuti oleh Maimunah Yusuf selaku naib johan dan Dayang Mohti di tempat ketiga.

Dalam kategori Tarian, kumpulan Majestic Shade Dancer berjaya meraih gelaran johan, manakala Gahrentak Arts and Culture dan kumpulan Gemala Aditari masing-masing meraih tempat naib johan dan tempat ketiga.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MSS Awang Ikhman Awang Sepian, Timbalan Residen Bahagian Mukah Safrie Saili, Penolong Pegawai Pejabat Daerah Mukah Norlin Gendang dan Ketua Polis Daerah Mukah Muhammad Rizal Alias. -EDISI UKAS