SERIAN: Suara wanita akan terus didengari serta dihargai agar tidak meminggirkan kepentingan mereka yang mampu membawa perubahan besar kepada pelbagai peringkat pentadbiran.
Ahli Parlimen Serian Dato Richard Riot Jaem berkata, suara wanita tidak akan tenggelam, malah akan terus didengari demi kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.
“Suara wanita hari ini bukan sahaja didengari di peringkat kampung, tetapi juga semakin penting di peringkat pentadbiran daerah, negeri, bahkan negara,” katanya demikian dalam Majlis Makan Malam Sambutan 43 Tahun Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) & Biro Wanita Kampung Rasau di Dewan Serbaguna Kampung Rasau pada Sabtu.
Tambahnya, pertubuhan seperti PPWS amat penting kerana mampu memberi platform kepada kaum wanita untuk terus menyampaikan suara dan pandangan mereka dalam pelbagai bentuk pentadbiran.
Justeru, beliau menyeru agar persatuan ini terus diperkukuhkan dan kekal aktif dalam memainkan peranan membangunkan komuniti.
Objektif utama penganjuran majlis ini adalah untuk mengiktiraf dan menghargai jasa serta sumbangan para ahli PPWS sepanjang tempoh perkhidmatan mereka selain itu mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan ahli baru dan lama. -EDISI UKAS