ENGKILILI: Rakyat Sarawak diseru sentiasa menjaga semangat perpaduan dan harmoni untuk mengelak perpecahan dalam masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, Sarawak kini di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang kukuh dan aman.
“Kerajaan GPS terdiri daripada gabungan empat parti iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
“Dalam komponen parti tersebut adalah terdiri daripada pelbagai bangsa di Sarawak yang hidup bersama dengan aman dan damai dan kita harus mempertahankan perpaduan dalam masyarakat untuk kestabilan negeri,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan Karnival Lubok Antu 2024 di Pasar Engkilili di sini pada Ahad.
Katanya, karnival ini dianjurkan bagi merapatkan tali persaudaraan dan disertai oleh pelbagai bangsa khasnya dari masyarakat Lubok Antu.
“Saya difahamkan bahawa masyarakat di kawasan Lubok Antu adalah terdiri daripada pelbagai latar belakang dan oleh itu, Sarawak memerlukan politik yang stabil untuk maju ke arah pembangunan mampan,” ujarnya.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi, Senator Susan Chemerai Anding, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Kua Jack Seng dan Pegawai Daerah Lubok Antu Richard Ngumbang. -EDISI UKAS