LINGGA: Suasana meriah dan penuh semangat menyelubungi pekarangan SJK (C) Chung Hua Lingga apabila lebih 150 peserta menyertai Program Larian Amal sejauh 4.4 kilometer bersempena sambutan ulang tahun ke-97 sekolah tersebut pada Sabtu.
Program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJK (C) Chung Hua Lingga dengan kerjasama Che Chuan Khor Sri Aman itu bukan sahaja bertujuan meraikan ulang tahun sekolah, malah menjadi platform mengumpul dana pembangunan sekolah, memupuk semangat kesukanan dan mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat pelbagai kaum di Lingga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor yang merasmikan program menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes buli di sekolah dan menegaskan semua pihak perlu memandang serius isu tersebut.
“Ibu bapa dan pihak sekolah perlu bekerjasama rapat dalam memantau tingkah laku serta aktiviti anak-anak bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka terpelihara,” tegas beliau.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan berhubung kadar pelajar berhenti sekolah yang semakin meningkat dan bertekad mencari jalan penyelesaian bagi memastikan masa depan generasi muda terus terjamin.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani, Guru Besar SJK (C) Chung Hua Lingga, Khoo Hui Guan dan Temenggong Kueh Aik Seng.-EDISI UKAS