Graduan TVET Berkemahiran Disaran Ceburi Bidang Keusahawanan

Disiarkan pada 10 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Para graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memiliki kemahiran teknikal disaran menceburi bidang keusahawanan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, mereka perlu memanfaatkan sepenuhnya kepakaran mereka dan seterusnya menjana peluang pekerjaan baharu selari dengan dasar kerajaan Sarawak membangunkan modal insan berdaya saing.

Menurutnya, keupayaan graduan TVET bukan sahaja terletak pada kemahiran teknikal, tetapi juga pada kebolehan mereka mengembangkan perniagaan yang memberi impak kepada ekonomi tempatan.

“Program seperti Hari Keusahawanan ini memberi pendedahan awal kepada murid untuk berfikir bagaimana memulakan perniagaan dan menjadi usahawan.

"Saya berharap graduan TVET kelak dapat memanfaatkan kemahiran teknikal mereka untuk menjadi usahawan yang berjaya,” katanya ketika merasmikan Hari Keusahawanan 2025 SJK Chung Hua Batu 35, Serian, pada Sabtu.

Program anjuran Lembaga Pengurusan Sekolah SJK Chung Hua Batu 35 yang memasuki edisi kedua ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid mengenai konsep keusahawanan, di samping menggalakkan pemikiran kreatif dan inovatif selari dengan promosi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) oleh kerajaan Sarawak.

Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Damen Rejek, Penghulu Philip Lee, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SJK Chung Hua Batu 35, Jennifer George Gantung, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Serian dan Guru Besar SJK Chung Hua Batu 35, Chai Fui Chiew.-EDISI UKAS