ASAJAYA: Street Bite Fest edisi pertama di Daerah Asajaya mencipta fenomena apabila berjaya menarik lebih 2,000 pengunjung sekali gus melonjakkan pendapatan peniaga tempatan dengan 90 peratus jualan habis terjual sepanjang empat hari penganjuran.
Festival empat hari anjuran Gadzeetent Co. dengan kerjasama Persatuan Pusat Penjaja MPKS Tambirat, Asajaya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tambirat serta Ketua Masyarakat Tambirat itu berlangsung meriah di Pusat Penjaja MPKS Tambirat, Asajaya.
Acara ini menampilkan persembahan artis tempatan, artis jemputan dari Semenanjung Malaysia dan pempengaruh media sosial yang beramah mesra bersama pengunjung. Pertunjukan lampu neon pada waktu malam menjadi tarikan utama, dengan pengunjung mempamerkan semangat dan keterujaan yang tinggi.
Pengurus Street Bite Fest, Tuan Mol Bin Dirim, berkata sambutan yang diterima amat memberangsangkan walaupun festival ini pertama kali diadakan di Asajaya.
“Walaupun ini kali pertama Street Bite Fest diadakan di Daerah Asajaya, saya boleh katakan semuanya berjalan lancar. Malah, peniaga-peniaga memaklumkan 90 peratus hasil jualan mereka habis terjual sepanjang festival ini berlangsung,” katanya kepada pemberita UKAS pada Sabtu.
Selain persembahan hiburan, penganjuran festival ini bertujuan membantu usahawan tempatan menambah pendapatan di samping menyediakan platform mempromosikan perniagaan mereka.
Seorang peniaga asal Asajaya, Qayyum, turut berkongsi pengalaman manis apabila produknya Lemantak Qayyum menjadi tumpuan pengunjung yang sanggup beratur panjang untuk mencubanya.
Pemilihan lokasi strategik serta sokongan padu penduduk tempatan menjadi faktor kejayaan festival ini.
Kawasan di bawah DUN Asajaya yang turut berada dalam tanggungjawab Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan disifatkan sebagai lokasi yang tepat bagi acara berskala besar seperti ini.
Penganjuran Street Bite Fest bukan sahaja memperkukuh jaringan hubungan antara komuniti setempat dan pengunjung luar, malah diharap dapat menjadi acara tahunan yang menyemarakkan lagi perkembangan ekonomi dan industri kreatif di Daerah Asajaya, selain memberi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif yang mampu memberi impak positif kepada komuniti.-EDISI UKAS