Program Ngarom Bipajak Gawei Biperoh Mampu Jadi Program Tahunan Kalendar Pelancongan Sarawak

Disiarkan pada 27 May 2024
Sumber Berita: UKAS



PADAWAN: Program Ngarom Bipajak Gawei Biperoh 2024 mampu menjadi program tahunan dalam kalendar pelancongan Sarawak.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil berkata, program Gawai yang melibatkan masyarakat Bidayuh Biperoh boleh dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sarawak untuk mempamer adat budaya kaum Dayak.

 

“Pengisian aktiviti yang boleh diketengahkan dalam usaha mempamer adat budaya Bidayuh di mata dunia dengan mengadakan karnival kebudayaan yang menyediakan pertunjukkan serta pertandingan permainan tradisional yang telah diwarisi daripada nenek moyang kita sejak turun temurun.

 

“Dengan keunikan adat resam dan budaya Dayak, ianya dapat dikomersialkan sebagai satu produk pelancongan bagi menarik minat pelancong dalam serta luar negara yang ingin mengenali adat budaya masyarakat Bidayuh terutamanya di kawasan Padawan,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Ngarom Bipajak Gawei Biperoh 2024 dan Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik Biperoh 2024 di sini pada Sabtu.

 

Datuk Dr Jerip menambah, Kerajaan Sarawak menerusi Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) telah merancangkan aktiviti pembangunan pelancongan yang akan merancakkan lagi industri pelancongan di Sarawak dan di Padawan khususnya. 

 

Katanya, dengan pembangunan pelancongan ini ia akan membuka pelbagai peluang pembangunan ekonomi kepada masyarakat kita di kawasan Padawan yang mempunyai keunikan adat budaya serta keindahan alam semulajadi.

 

Dalam majlis sama, beliau telah menyampaikan Insentif Kecemerlangan Akademik Biperoh 2024 kepada seramai 29 pelajar dari kawasan sekitar.

 

Hadir sama, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Padawan, Julius Scott Sapong serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sekitar. -EDISI UKAS