KUCHING: Warisan budaya serta identiti pelbagai kaum di Sarawak perlu terus dipelihara dan diperkasa agar tidak pupus ditelan arus kemodenan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, Sarawak memiliki 34 suku kaum yang telah diwartakan dan masing-masing membawa sejarah serta nilai budaya yang unik.
Sehubungan itu, katanya, usaha memperkenal, memelihara dan mempromosikan identiti ini, khususnya dalam kalangan generasi muda, harus diberi perhatian serius.
“Kadang-kadang orang muda ini terlalu sibuk dengan teknologi dan sebagainya sehingga mereka lupa dengan suku kaum yang terdapat di negeri ini.
“Sebab itulah menjadi tugas kita untuk memastikan suku kaum ini diteruskan kerana inilah identiti kita, identiti Sarawak,” katanya semasa Majlis Ngarom Bisamah Persatuan Segu Bunuk Penrissen (PSBP) 2025 di Dewan Serbaguna Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), di sini, pada Sabtu.
Datuk Snowdan menambah, warisan budaya merupakan elemen penting dalam membentuk identiti negeri yang turut menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara.
“Apabila pelancong datang ke Sarawak, perkara pertama yang mereka mahu lihat ialah suku kaum kita kerana kita ini sangat unik – dengan pakaian tradisional serta budaya yang pelbagai. Inilah yang menjadikan kita istimewa di mata dunia,” jelasnya.
Justeru, beliau menyeru agar anak-anak Sarawak yang berada di luar negeri seperti di Semenanjung Malaysia, Sabah mahupun luar negara agar sentiasa membawa bersama identiti suku kaum masing-masing sebagai simbol kebanggaan dan jati diri.
"Kalau anak itu Bidayuh, pastikan dia bawa pakaian Bidayuh. Kalau Iban, bawa pakaian Iban. Kalau Orang Ulu, bawa apa yang melambangkan suku kaumnya. Ini penting supaya mereka boleh menunjukkan siapa mereka, terutamanya dalam majlis-majlis rasmi," ujarnya.
Dalam majlis tersebut, Datuk Snowdan turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada PSBP sebagai sokongan kepada usaha memelihara budaya dan tradisi setempat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Puncak Borneo merangkap Penaung PSBP, Datuk Willie Mongin dalam ucapan alu-aluannya menyarankan agar persatuan ini dapat bekerjasama dengan persatuan-persatuan lain demi memperkukuhkan perpaduan dan kekuatan komuniti.
“Kalau persatuan yang lain itu mereka hampir rebah, kita bantu mereka.
“Saya tidak mahu melihat persatuan kita hanya mempunyai semangat hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’. Bila ditubuhkan, kita semangat. Tapi lama-kelamaan semakin pudar dan akhirnya tenggelam. Kita mesti terus bergerak bersama dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya.
Tambah beliau, pelbagai program telah dilaksanakan oleh PSBP untuk membantu komuniti setempat, namun beliau mengakui masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan.
“Kita akan terus bekerja keras, menyokong kerajaan, dan memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi dan politik negeri agar tanggungjawab kita sebagai masyarakat terus terlaksana,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr Jerip Susil atas kelulusan peruntukan bagi membina Pusat Kebudayaan Persatuan Segu Bunuk, dan memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti lokasi tanah yang sesuai.
“Kita berharap dengan adanya peruntukan ini, pada masa akan datang kita akan memiliki sebuah pusat kebudayaan sendiri yang akan menjadi simbol kepada warisan dan identiti masyarakat kita,” tambah beliau.-EDISI UKAS