Kuching City FC Fokus Hadapi Brunei, JDT

Disiarkan pada 10 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Pemain Kuching City FC (KCFC) diingatkan agar tidak dibuai kejayaan menewaskan The Real Warriors (TRW) FC dalam aksi pembukaan Liga Super Malaysia 25/26 malam tadi, sebaliknya perlu meningkatkan permainan untuk menghadapi dua perlawanan sukar akan datang.

Penolong Jurulatih KCFC, Zulkarnein Mohamad Poasa berkata, skuadnya akan berdepan Brunei DPMM dalam aksi Piala FA pada 16 Ogos, sebelum melayan kunjungan juara 11 kali Liga Super, JDT pada 24 Ogos ini.

"Persiapan memang kita akan fokus pada Piala FA terlebih dahulu (menentang Brunei DPMM) barulah persiapan kita menentang JDT kelak di Kuching. Kita ambil persiapan satu per satu," ujarnya dalam sidang media selepas perlawanan tamat.

Zulkarnein dalam pada itu memuji aksi pemain KCFC malam ini yang mempamerkan prestasi terbaik untuk menewaskan Kelantan, 4-0.

"Alhamdulillah biarpun terdapat beberapa pemain baharu yang masih mencari keserasian namun dapat beraksi dengan baik.

"Mereka bermain dengan sungguh baik terutamanya waktu latihan di mana dua tiga hari ini persiapan yang menunjukkan aksi hebat," katanya

Pada perlawanan tersebut, KCFC berjaya membenam pasukan Kelantan 4-0 hasil jaringan Wanja Ronald Ngah yang meledak dua gol manakala Joao Pedro dan Ramadan Saifullah masing-masing berjaya menjaringkan satu gol.

Zulkarnein menambah, 11 pemain utama yang dikeluarkan pada malam ini menunjukkan permainan yang diingini namun turut memuji pemain gantian yang turut menunjukkan aksi baik.

Katanya, pemain simpanan boleh beraksi sebagai skuad kesebelasan utama memandangkan pemain akan dipilih berdasarkan prestasi yang ditunjukkan semasa sesi latihan. -EDISI UKAS