Liga Super: Kuching City FC Langkah Kanan, Benam Sang Kijang 4-0

Disiarkan pada 09 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Skuad Kuching City FC (KCFC) memulakan kempen Liga Super 25/26 dengan langkah kanan apabila menewaskan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC, 4-0 dalam aksi pembukaan di Stadium Negeri, Petra Jaya pada malam Sabtu.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membimbing perlawanan apabila ayam tambatan baharunya, Wanja Ronald Ngah menanduk masuk gol pertama pada minit ke-6 hasil hantaran silang Jimmy Raymond.

Kesilapan penjaga gawang Kelantan, Muhammad Azfar Arif yang keluar jauh dari pintu gol dihukum pemain sayap KCFC, Joao Pedro Da Silva apabila bola lambungnya terus menerjah masuk gawang lawan pada minit ke-16.

Tersentak dengan dua jaringan awal tuan rumah, pasukan Kelantan memperbaiki permainan dan berjaya mengatur beberapa gerakan berbahaya ke kubu KCFC.

Namun, kekentalan bek KCFC sukar ditembusi penyerang TRW menyaksikan separuh masa pertama berakhir 2-0.

Bersambung babak kedua, Kelantan tampil dengan permainan lebih kemas dan sering mengasak kubu KCFC untuk mengurangkan defisit gol.

Usaha anak didik Elavarasan Elangowan itu bagaimanapun masih gagal menembusi benteng tuan rumah.

Sebaliknya, Wanja sekali lagi menjadi during dalam daging Kelantan apabila meledak gol ketiga KCFC pada minit ke-70 selepas menyambar hantaran leret Muhammad Ramadan Saifullah.

Muhammad Ramadan melengkapkan malam cemerlang KCFC dengan menjaringkan gol keempat pada masa kecederaan (90+3).

Turut hadir pada perlawanan tersebut, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol serta Pengerusi Kuching City FC merangkap Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman. -EDISI UKAS


Kredit Foto: Laman FB Kuching City FC