ASAJAYA: Komuniti MADANI terus mengukuhkan peranan sebagai pemangkin perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat di peringkat akar umbi melalui penganjuran Program JIWA Komuniti MADANI serta Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung meriah di Dewan Panca Delima, SMK Hajjah Laila Taib di sini pada Sabtu.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, program ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berlandaskan nilai keterangkuman, perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
Tegas beliau, Komuniti MADANI berfungsi sebagai saluran penyampaian maklumat kerajaan yang tepat dan berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi, selain memainkan peranan penting dalam membanteras penyebaran berita palsu.
"Menurut laporan Unit Perancang Ekonomi (EPU), kawasan yang aktif dengan pelaksanaan inisiatif Komuniti MADANI mencatat peningkatan sehingga 40 peratus dalam tahap kefahaman rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan sejak 2023,"katanya ketika berucap merasmikan program anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Samarahan itu.
Pelbagai pengisian menarik turut memeriahkan program berkenaan termasuk persembahan Pentarama Komuniti, sesi Bual Bicara MA63, edaran bahan penerangan rasmi serta sesi interaksi bersama pemimpin dan komuniti setempat.
Hadir sama ialah Timbalan Pengarah JAPEN Sarawak Sri Kestury Mohammed Zamhari, Pegawai Tadbir Khas (IRISDA) Anuar Da’an, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin, Temenggong Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hajjah Laila Taib Usti Dolhan. -EDISI UKAS