Sarawak Terus Pacu Pembangunan Teknologi AI Untuk Transformasi Digital

Posted on 10 Aug 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda transformasi digital melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berasaskan kecerdasan buatan (AI) termasuk penubuhan Pusat AI Sarawak yang akan menjadi pemacu utama pembangunan teknologi tersebut di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Pusat AI Sarawak akan menerajui integrasi teknologi AI dalam infrastruktur digital negeri melalui kerjasama strategik bersama institusi akademik, industri dan agensi kerajaan.

“Salah satu inisiatif utama Pusat ini adalah program 'AI untuk Pertanian Pintar', yang menggunakan analitik data berkuasa AI untuk mengoptimumkan hasil tanaman dan mempromosikan kelestarian dalam pertanian.

“Pusat ini juga mempelopori projek-projek dalam bidang kesihatan, seperti analitik prediktif untuk pengesanan awal penyakit, dan meningkatkan kecekapan tenaga melalui sistem grid pintar yang digerakkan oleh AI,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang semasa Majlis Penangguhan Bengkel Celik AI SABERKAS Zon Utara di Kompleks Islam Sarawak, di sini, pada Sabtu.

Dato Sri Abdul Karim berkata, inisiatif pembangunan bakat AI turut dilaksanakan dengan pembentukan Unit AI dalam perkhidmatan awam serta pembangunan pusat data AI, selari dengan usaha menjadikan Sarawak sebagai hab teknologi tinggi di rantau Asia Tenggara.

Beliau turut menegaskan kepentingan AI dalam sektor pentadbiran, termasuk automasi tugas rutin, analitik data, peningkatan pengalaman pengguna dan keselamatan siber yang lebih mantap.

Katanya, penggunaan AI mampu menjimatkan masa, mengurangkan kos operasi serta meningkatkan ketepatan proses pentadbiran.

Beliau turut menyentuh kejayaan Sarawak membangunkan KETEQ AI, iaitu peranti penukar kuasa berasaskan AI pertama di dunia yang dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan di bawah Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030.

“Sarawak komited untuk bukan sahaja mencapai kecemerlangan, malah meletakkan diri sebagai rantau yang diiktiraf di peringkat global untuk inovasi, kemajuan teknologi dan pertumbuhan mampan dengan tidak meminggirkan komponen utama strategi ini termasuk tadbir urus data yang kukuh dan penciptaan persekitaran digital yang selamat. Ini akan melindungi integriti dan privasi sistem di Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim mengingatkan pelajar menggunakan teknologi AI secara bertanggungjawab dan tidak menjadikannya ‘jalan pintas’ dalam pembelajaran berikutan penggunaannya semakin rancak dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti.

“Ilmu yang diperoleh melalui usaha sendiri jauh lebih bermakna berbanding kemenangan palsu yang hanya sementara. AI adalah alat bantu, bukan pengganti kepada pemikiran kritis manusia,” tegasnya.

Beliau menyeru peserta menggunakan AI secara bijak, menyebarkan ilmu yang diperoleh, dan membantu kerajaan membudayakan penggunaan teknologi ini demi manfaat bersama.

Lebih 60 peserta terdiri daripada ahli SABERKAS dan persatuan belia Zon Utara menghadiri majlis penangguhan bengkel anjuran SABERKAS Sarawak dengan kerjasama SABERKAS Cawangan Pujut itu.

Bengkel tersebut merangkumi sesi taklimat serta pembentangan oleh pelbagai pihak termasuk CENTEXS, A.K. Resources, i-CATS, TEGAS, Maxis, dan Zeitgeist Inspira Technologies Sdn. Bhd.-EDISI UKAS