Budaya Makan Sihat dan Gaya Hidup Aktif Perlu Diterapkan Dalam Kalangan Rakyat

Disiarkan pada 09 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Budaya pemakanan sihat dan gaya hidup aktif perlu diterapkan dalam kalangan rakyat bagi memastikan kesihatan fizikal, mental dan sosial yang seimbang.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, tema sambutan Bulan Pemakanan Malaysia dan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia tahun ini iaitu “Makan Sihat, Giat Aktif – Utamakan Kesihatan dan Kesejahteraan” adalah tepat pada masanya dalam usaha mendidik dan membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam masyarakat.

“Ia merupakan seruan kepada seluruh masyarakat agar memberi perhatian terhadap tabiat makan dan aktiviti fizikal demi
kesihatan fizikal, mental dan sosial yang seimbang,” katanya ketika merasmikan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Negeri Sarawak dan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Bahagian Miri Tahun 2025, yang berlangsung di Bintang Megamall, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Dato Sri Fatimah memetik dapatan daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dijalankan secara berkala di peringkat nasional sebagai rujukan utama dalam memahami status kesihatan rakyat.

Menurut beliau, NHMS 2024 memberi tumpuan khusus kepada aspek pemakanan, sekali gus membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti jurang dan isu berkaitan pemakanan di negara ini.

“Berdasarkan NHMS, prevalens berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan dewasa di Sarawak meningkat daripada 48.5 peratus pada tahun 2015 kepada 53.3 peratus pada tahun 2023.

“Ini bermaksud lebih separuh daripada populasi dewasa berada dalam risiko tinggi untuk menghidap penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi dan penyakit jantung,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, antara penyumbang utama kepada masalah ini ialah ketidakseimbangan tenaga, khususnya pengambilan kalori yang berlebihan daripada gula tambahan.

“NHMS 2024 mendapati 63.1 peratus remaja dan 47.0 peratus dewasa di Malaysia mengambil gula melebihi saranan harian, dan separuh daripadanya datang daripada minuman bergula,” jelas beliau.

Justeru Dato Sri Faatimah berkata, kerajaan mengambil langkah progresif dengan mengenakan cukai ke atas minuman bergula sejak 2019.

Menurutnya, bermula 1 Januari 2025, kadar cukai ini dinaikkan kepada RM0.90 seliter, selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mencapai penurunan sekurang-kurangnya 20 peratus
dalam pengambilan gula melalui mekanisme harga.

Tambah beliau, langkah ini disokong oleh pelaksanaan Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024-2030 yang memperkukuh pendekatan antara sektor dan intervensi menyeluruh.

Dato Sri Fatimah turut menyarankan masyarakat menjalani saringan pemakanan dan kesihatan secara percuma yang disediakan di fasiliti kesihatan kerajaan sebagai usaha pencegahan awal.

Beliau menegaskan bahawa hasil dapatan NHMS akan menjadi asas kepada usaha advokasi pemakanan oleh KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak yang akan terus diperkukuh dengan pendekatan lebih praktikal dan mesra masyarakat.

Turut hadir semasa majlis berkenaan ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr. Veronica Lugah, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman Packierisamy, Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak Miri Razak Rambili, dan Duta Penyusuan Susu Ibu Bahagian Miri merangkap Pengerusi Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu Bahagian Miri Dayang Normaliza Awang Tambi.-EDISI UKAS