PUSA: Sebanyak 35 set Smart TV, RM9,000 untuk kelas tuisyen, RM30,000 untuk tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan RM19,500 insentif kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disumbangkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusa untuk pembangunan pendidikan di sekolah berkenaan.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata sumbangan 35 unit Smart TV oleh Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar akan digunakan untuk memudahkan pembelajaran secara digital dan interaktif di dalam bilik darjah.
“Dengan adanya Smart TV, pembelajaran akan menjadi lebih efektif dan selari dengan keperluan pendidikan masa kini yang menekankan aspek teknologi,” jelas beliau.
Sementara itu, sumbangan RM9,000 untuk kelas tuisyen pula akan digunakan bagi membantu pelajar dalam persediaan menghadapi SPM 2025, manakala RM30,000 untuk tabung PIBG SMK Pusa bertujuan memperkasakan aktiviti pendidikan dan kebajikan pelajar.
Insentif sebanyak RM19,500 diberikan sebagai ganjaran kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang (A) dalam SPM 2024.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pentingnya peranan ibu bapa dan komuniti dalam membentuk peribadi pelajar serta memantau kegiatan mereka agar tidak terjerumus ke dalam masalah sosial.
Tambah beliau, usaha memperkasakan pendidikan ini selaras dengan komitmen Kerajaan Sarawak yang menitikberatkan pembangunan modal insan, termasuk melalui pendidikan percuma di universiti milik negeri menjelang tahun 2026, pemberian biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar.
Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Betong Mohamad Lela Alamsah, Pegawai Daerah Pusa Jamain Wahab, Pengetua SMK Pusa Saini Bakar dan Yang di-Petua PIBG SMK Pusa Hussein Mili. -EDISI UKAS