KUCHING: Seramai 185 pelajar cemerlang dari 19 sekolah di kawasan Pantai Damai menerima pengiktirafan pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang yang berlangsung di Wisma SABATI, di sini, pada Sabtu.
Daripada jumlah itu, 59 murid merupakan penerima Anugerah Cemerlang Tahun 6 2024 daripada 12 sekolah rendah, manakala 75 pelajar sekolah menengah diraikan atas pencapaian cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 daripada lima sekolah.
Selain itu, 39 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 turut menerima penghargaan, melibatkan 29 penerima dari SMK Tun Abang Haji Openg dan 10 penerima dari SMK Agama Matang 2.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kejayaan para pelajar ini adalah hasil usaha bersama semua pihak iaitu guru besar, pengetua, ibu bapa dan komuniti setempat dalam menjadikan pendidikan agenda utama di kawasan Pantai Damai.
Beliau turut mengimbas inisiatif yang dilaksanakan seperti pembinaan bangunan sekolah baharu, penyediaan kemudahan moden termasuk papan pintar (smart board), serta program berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang seiring dengan pembangunan negeri ke arah teknologi tinggi dan ekonomi hijau.
“Hasrat kita adalah untuk memastikan setiap keluarga di Pantai Damai sekurang-kurangnya melahirkan seorang graduan. Malah kita mahu mereka terus melangkah ke peringkat sarjana dan kedoktoran,” katanya.
Justeru, beliau berharap inisiatif ini menjadi pemangkin semangat kepada pelajar untuk terus berusaha, berdisiplin dan berdaya saing demi masa depan diri, keluarga dan negeri. -EDISI UKAS