JULAU: Kerajaan Sarawak meluluskan tiga projek infrastruktur utama bernilai RM322 juta di Julau dan Pakan bagi meningkatkan jaringan jalan raya serta merancakkan pembangunan ekonomi luar bandar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek-projek berkenaan melibatkan Projek Naik Taraf Jalan Nanga Lasi, Balut dan Suchong, Julau yang berjumlah RM92 juta, Projek Jalan Lijan, Julau berjumlah RM80 juta dan Projek Jalan Nanga Entaih Rumah Sang Lasa, Kemalih serta 13 Jalan Cabang, Pakan berjumlah RM150 juta.
Menurut beliau, pelaksanaan projek-projek tersebut akan meningkatkan kelancaran pengangkutan, memendekkan masa perjalanan antara Julau, Betong, Sri Aman dan Kuching, serta membuka peluang pasaran lebih luas untuk produk tempatan.
“Apabila jalan ini siap, masa perjalanan dari Meluan ke Kuching hanya mengambil kira-kira dua jam setengah, membolehkan penduduk pergi dan balik pada hari yang sama,” ujar beliau ketika merasmikan Jambatan Nanga Lasi Julau di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, pembiayaan projek infrastruktur di Sarawak kini dilakukan sepenuhnya menggunakan hasil negeri berjumlah RM6 bilion setahun, tanpa bergantung kepada dana Kerajaan Persekutuan.
“Kita tidak bergantung kepada Kuala Lumpur. Kita gunakan teknologi, sains, dan kaedah ‘financial re-engineering’ untuk menambah pendapatan negeri,” katanya sambil merujuk kejayaan meningkatkan pendapatan Sarawak daripada RM6 bilion kepada RM14 bilion setahun.
Majlis perasmian itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS