BALEH: Kem Sahsiah dan Kepimpinan Murid Asrama 2025 merupakan wadah awal untuk melahirkan pemimpin muda yang berkarakter unggul.
Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, siri aktiviti yang memfokuskan kepada pembentukan sahsiah, kepimpinan, keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta ketahanan mental dan fizikal akan melahirkan anak-anak yang mampu memimpin diri sendiri dan orang lain dengan bijaksana.
“Ramai murid luar bandar kurang diberi peluang untuk bercakap di hadapan, mengurus kumpulan, atau membuat keputusan sendiri. Kem ini membuka ruang itu iaitu mereka mencuba, gagal, bangkit dan belajar,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Pegawai Pejabat Daerah Bukit Mabong Bahagian Kapit, sempena Majlis Penutupan Kem Sahsiah dan Kepimpinan Murid Asrama 2025, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Datuk Wilson menegaskan kem ini menjadi medan penting membina jati diri dan memperkasa potensi kepimpinan dalam kalangan mereka sejak awal.
“Pemimpin masa depan tidak lahir dalam sehari, tetapi dibentuk melalui pengalaman, cabaran dan bimbingan yang berterusan,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS