SIMANGGANG: Leonard Libau Anol, 63, secara rasmi dilantik sebagai Temenggong bagi komuniti Iban Bahagian Sri Aman selepas menerima watikah pelantikan daripada Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, dalam satu majlis ringkas di Pejabat Residen Bahagian Sri Aman pada Jumaat.
Majlis penyerahan watikah itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis.
Pelantikan Leonard Libau berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2029 bagi tempoh pertama, dengan penyambungan perkhidmatan tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Panel Pemilihan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian.
Pelantikan ini dijangka memperkukuh kepimpinan tradisional dan memperkasakan peranan Ketua Masyarakat dalam memelihara keharmonian serta memacu pembangunan komuniti Iban di Bahagian Sri Aman.
Turut hadir memberi sokongan ialah barisan Ketua Masyarakat pelbagai komuniti, termasuk Temenggong Mohd Shah Achang, Temenggong Kueh Aik Seng, Pemanca Lee Siang Hua, Pemanca Denneil Saweng, Pemanca Abg Norin Abg Norudin, Penghulu Andar Suntai, Penghulu Tiong Chong Onn, Penghulu Empaga Bailey, dan Penghulu Kang Tai Kong. -EDISI UKAS