Pembangunan Pusat Kanser Sarawak Dibincang Dalam Mesyuarat MA63 Isnin Depan

Disiarkan pada 09 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Pembangunan Pusat Kanser Sarawak akan dibawa dan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada Isnin depan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, perbincangan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) juga telah dilakukan bagi memastikan perancangan pusat kanser berkenaan memenuhi keperluan sebenar pengguna akhir.

“Perkara ini telah dimuktamadkan semuanya kerana kita akan membina sebuah hospital maka anda perlu tanya kepada pengguna akhir apakah perkara yang mereka mahu perlukan.

“Untuk jumlah katil, saya telah nyatakan dalam mesyuarat pada bulan April lalu, kerana pakar Sarawak dan Hospital Umum Sarawak (HUS) mencadangkan 310 jadi, saya tetap berpegang kepada itu, saya sangat menyokong mereka kerana 200 katil tidak mencukupi,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Batu Kawa, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak memaklumkan bahawa perbincangan berkaitan sektor kesihatan pada 11 Ogos ini akan disusuli dengan mesyuarat penyelarasan Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dijadualkan pada 18 Ogos.

Difahamkan, mesyuarat pada 18 Ogos ini nanti akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof manakala hasil perbincangan tersebut kemudiannya akan dibawa ke mesyuarat akhir yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim. -EDISI UKAS