KAPIT: Bola sepak bukan sekadar sukan, tetapi satu wadah penyatuan masyarakat selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyambong Ijang berkata penganjuran kejohanan ini membuktikan sukan mampu menjadi jambatan perpaduan di samping memperkasakan modal insan, terutama golongan muda di pedalaman.
“Kita mahu melihat belia Kapit bukan sahaja cemerlang di peringkat daerah, malah bersaing di peringkat negeri dan kebangsaan. Sukan adalah medium terbaik untuk membentuk disiplin, semangat berpasukan dan daya saing sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Kejohanan Bola Sepak Liga Kapit 2025, di sini, pada Jumaat.
Kejohanan kali ini disertai tujuh pasukan dengan perlawanan pembukaan menyaksikan KATIBAS FC menentang OUNA.
Beliau turut menyeru semua pemain agar menjadikan kejohanan ini sebagai medan mempamerkan bakat disertai semangat kesukanan yang tinggi, manakala jurulatih dan pengurus pasukan digalakkan terus membimbing generasi muda dengan penuh dedikasi.
Hadir sama, wakil Pejabat Daerah Bukit Mabong George Janduk, Naib Presiden Kapit FA Mark Kayan, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kapit Martin Sherman serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS