Sambutan Hari Gawai Dayak Platform Ketengahkan Budaya Masyarakat Dayak

Disiarkan pada 27 May 2024
Sumber Berita: UKAS



SIMANGGANG: Sambutan perayaan Hari Gawai Dayak merupakan platform mengetengahkan kekayaan budaya dan adat resam masyarakat Dayak.

 

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis memberitahu, penganjuran Majlis Mantar Gawai dan pertandingan Kumpang Gawai merupakan penonjolan identiti kaum Dayak di Sarawak.

 

“Pertandingan Kumpang Gawai memelihara budaya kaum Dayak melalui peragaan kostum dengan aksesori Ngepan Iban yang lengkap dan tulen.

 

“Generasi baharu perlu didedahkan dengan kostum tradisional agar mereka sentiasa ingat akan identiti asal usul dan selayaknya setiap individu kaum Iban mesti terdapat kostum tradisional seperti Baju Burung untuk lelaki dan Kain Kebat untuk wanita,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap semasa Majlis Mantar Gawai Dayak 2024 di sini pada Sabtu lepas. 

 

Dalam majlis sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu turut meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada SDNU Simanggang dan SIDS Simanggang masing-masing.

 

Manakala, Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie meluluskan peruntukan MRP sebanyak RM5,000 kepada SIDS Simanggang.

 

Acara kemuncak pada majlis tersebut ialah Pekit Kumang Gawai Bahagian Sri Aman dengan gelaran Kumang diberi kepada Marry Puspa Luju yang membawa balik hadiah wang tunai RM3,000, piala iringan, selempang, mahkota dan bunga tangan.

 

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Dato Sri Doris Sophia dan isteri kepada Datuk Francis Harden, Datin Simba Nalang.

 

Turut hadir ialah Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Simanggang Tuai Rumah Denis Gasan, Pengerusi Serangkup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Simanggang Brambun Joseph, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Charlie Keling dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sekitar. -EDISI UKAS