KOTA SAMARAHAN: Keberanian dan tindakan pantas seorang pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berjaya menyelamatkan nyawa mangsa lemas di Tasik UNIMAS, sekali gus mengangkat namanya sebagai wira kampus dan sumber inspirasi masyarakat.
Pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Ahmad Nur Irfan Amirruddin, yang juga Pegawai Kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) UNIMAS, dianugerahkan Live Saver Award Mengenang Budi dalam satu majlis ringkas anjuran Pusat Khidmat ADUN Muara Tuang, malam tadi.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang.
Insiden berani itu berlaku pada 21 Julai lalu apabila Ahmad Nur Irfan yang kebetulan berada di lokasi kejadian segera terjun ke tasik sebaik menyedari seorang individu sedang bergelut untuk menyelamatkan diri.
Dengan latihan dan kemahiran yang dimiliki sebagai Pegawai Kadet SISPA, beliau berjaya membawa mangsa ke tebing dalam keadaan selamat, meskipun keadaan ketika itu mencabar.
Menurut Dato’ Idris, keberanian dan kecekapan yang ditunjukkan Ahmad Nur Irfan mencerminkan semangat kemanusiaan yang tinggi dan wajar dijadikan teladan.
“Syabas dan tahniah kepada Ahmad Nur Irfan kerana beliau bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah memberi inspirasi kepada masyarakat, khususnya warga Samarahan. Keberanian seperti ini adalah nilai yang patut terus disemai dalam diri generasi muda,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menyelamat sambil menegaskan bahawa semangat kepedulian sebegini penting untuk kesejahteraan bersama.
Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat, Pengerusi Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Abang Ismawi Abang Ali, Penolong Pegawai Daerah Samarahan, Hayati Sahari dan Setiausaha MPKS, Gustian Durani.-EDISI UKAS