SIBURAN: Masyarakat setempat diseru menjadi ejen perubahan ekonomi komuniti dengan memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan kemahiran yang diperoleh.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, menegaskan bahawa kemahiran yang dipelajari bukan sahaja mampu menjana pendapatan tambahan untuk keluarga, malah berpotensi memperkukuh daya saing komuniti luar bandar serta merancakkan ekonomi setempat secara mampan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu menjelaskan, pendidikan kemahiran penting bagi memberi peluang kedua kepada golongan dewasa yang tercicir daripada pendidikan formal untuk memperoleh ilmu dan kemahiran demi meningkatkan taraf hidup serta memperkasa komuniti.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Kursus Kemahiran Quickwin Solekan Profesional anjuran KEMAS Parlimen Puncak Borneo bagi tahun 2025, di Dewan Serbaguna Kampung Lintang Baru di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Damen Rejek, Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Anisah Saidin serta pegawai-pegawai lain.
Dato Sri Roland Sagah menambah penganjuran kursus itu amat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan modal insan dan keusahawanan.
Jelasnya, ia bertujuan mewujudkan kesinambungan kemahiran yang telah diperoleh melalui kelas-kelas sedia ada, memberi peluang kepada kumpulan sasar meningkatkan kemahiran khususnya dalam bidang solekan profesional yang mempunyai potensi pasaran besar, selain mempelbagaikan sumber pendapatan agar mereka dapat menjana pendapatan tambahan untuk keluarga.
Pada masa sama, kursus ini juga diharap dapat melahirkan usahawan rintis dalam kategori PICO, NANO dan MIKRO yang berdaya saing serta mampu bersaing secara progresif di pasaran tempatan mahupun luar negara.-EDISI UKAS