KUCHING: Media di Sarawak, sama ada kerajaan atau swasta, diseru agar mengelakkan daripada membangkitkan sentimen negatif seperti perkauman dan agama dalam pelaporan berita.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, berkata individu yang sengaja membangkitkan isu perkauman
mempunyai sikap dan cara berfikir yang tidak selari dengan nilai seorang rakyat Malaysia sejati.
"Perkara ini amat sensitif, khususnya di Sarawak yang mempunyai pelbagai bangsa, kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Malam Segulai Sejalai di pekarangan Ibu Pejabat Jabatan Penerangan (JaPen) Sarawak di sini, malam Jumaat.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya merancang melaksanakan program khusus kepada wartawan ‘netizen’ yang tidak mempunyai kad perakuan media dikeluarkan oleh JaPen, bagi memastikan laporan berita mematuhi etika kewartawanan.
Selain itu, Datuk Abdullah menyeru semua agensi media melaksanakan tanggungjawab menyampaikan maklumat berkaitan pelaksanaan inisiatif kerajaan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri dengan jelas dan tidak mengelirukan.
Jelasnya, agensi media juga perlu saling bekerjasama dan berkongsi sumber cerita bagi mengelakkan penghasilan pelbagai versi berita yang bercanggah.
"Sebab itulah saya merasakan kerjasama antara UKAS di peringkat negeri sebagai wakil agensi negeri, JaPen,l dan semua agensi berkaitan adalah sangat penting.
"Kita perlu bekerjasama, membina kemesraan dan meningkatkan kekerapan komunikasi,” tegasnya.
Turut hadir, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pemangku Pengarah JaPen Sarawak Sri Kestury Mohammed Zamhari serta ketua-ketua Jabatan yang lain. -EDISI UKAS