PM Berangkat Pulang Ke Ibu Negara Selepas Lawatan Kerja Di Kuching

Disiarkan pada 27 May 2024
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim berangkat pulang ke ibu negara selepas selesai mengadakan lawatan kerja singkat di Kuching.

Perdana Menteri diiringi Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta rombongan berlepas pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) ke Kuala Lumpur pada jam 7.05 malam dengan menggunakan pesawat khas.

Turut sama mengiringi keberangkatan pulang beliau ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Terdahulu, beliau telah menyempurnakan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 bertempat di Hotel Waterfront Kuching.

Seterusnya, beliau mengadakan pertemuan empat mata bersama Premier Sarawak di Hotel Hilton sebelum menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Sambutan Perayaan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2024 yang diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta melakukan pertemuan dengan empat pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS).-EDISI UKAS