KUCHING: Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) berpotensi melangkah ke fasa baharu dalam usaha memartabatkan warisan masyarakat asli (native).
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata penubuhan pusat khas ini adalah langkah strategik yang tepat pada masanya, bagi memastikan usaha memelihara, membangun dan mempromosikan adat serta budaya masyarakat asli Sarawak dapat dijalankan secara lebih sistematik, profesional dan berimpak tinggi.
"Saya menyokong penuh cadangan untuk mewujudkan MAIS Adat, Culture and Traditions Centre.
"Sudah tiba masanya MAIS memainkan peranan yang lebih padu dalam memperkukuh pemeliharaan adat dan budaya yang bukan sahaja menjadi identiti negeri ini, malah aset penting kepada pembangunan sosioekonomi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Inovasi MAIS 2025 dan Majlis Pelancaran Lima Buku yang berlangsung di Hotel Waterfront, Kuching pada Jumaat.
Tambah Dato Sri John, inisiatif ini dilihat bertepatan dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang menekankan transformasi masyarakat Sarawak melalui inovasi, keterangkuman sosial dan pembangunan lestari.
“Oleh yang demikian, pembabitan MAIS dalam mencetuskan idea kreatif dan inovasi serta usaha untuk menerbitkan buku hasil kajian dan penulisan tentang adat, budaya dan tradisi masyarakat native di Sarawak amatlah tepat dan selaras dengan peranan dan fungsi MAIS dalam memelihara dan mempromosi adat, budaya dan tradisi masyarakat native di Sarawak, terutamanya di kalangan generasi muda,” tambah beliau.
Cadangan penubuhan pusat tersebut hadir seiring dengan penerbitan lima buah buku berkaitan adat dan budaya yang dilancarkan hari ini, antaranya menyentuh budaya Bidayuh dan Melanau – membuktikan kesungguhan MAIS dalam mendokumentasi warisan negeri.
Dengan sokongan kerajaan negeri dan keupayaan MAIS yang semakin berkembang, penubuhan pusat ini diyakini akan menjadi pemangkin kepada kelangsungan warisan Sarawak dalam dunia moden yang semakin mencabar.-EDISI UKAS