Kemarau: Penduduk Mulu Terima Bantuan Air Mineral

Disiarkan pada 08 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MULU: Penduduk di kawasan pedalaman Mulu, Baram yang terjejas akibat musim kemarau menerima bantuan bekalan air mineral melalui penghantaran udara yang dilaksanakan oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Marudi dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Jumaat.

Penghantaran bantuan yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 Ogos itu menyaksikan sebanyak 984 kotak air mineral disalurkan ke lima lokasi utama iaitu Kampung Batu Bungan, Sekolah Kebangsaan Batu Bungan, Kuarters CAAM di Lapangan Terbang Mulu, Klinik Kesihatan Taman Negara Mulu serta Pondok Polis Mulu.

Kampung Batu Bungan menerima jumlah agihan tertinggi dengan 700 kotak air mineral untuk keperluan 350 penduduk dari 87 buah rumah.

Manakala SK Batu Bungan menerima 190 kotak untuk 95 orang murid dan kakitangan sekolah.

Lokasi lain turut menerima agihan berdasarkan jumlah penduduk dan keperluan masing-masing.

Disebabkan laluan sungai yang cetek dan tidak dapat dilalui oleh bot akibat kemarau, bantuan hanya dapat disalurkan menggunakan helikopter JBPM, memandangkan satu-satunya jalan alternatif iaitu laluan air dari Pekan Marudi memakan masa sehingga 13 jam.

Menurut Pegawai Menguasa PKMD Marudi Aziana Lasa, inisiatif penghantaran ini adalah langkah segera untuk memastikan penduduk mempunyai bekalan air bersih yang mencukupi sepanjang tempoh cuaca kering yang melanda.

Beliau berharap bantuan ini dapat meringankan beban penduduk sementara menanti keadaan cuaca kembali stabil dan sumber air semula jadi pulih seperti sediakala.-EDISI UKAS