Projek Jalan MMMLL Bakal Ubah Landskap Sosioekonomi Kawasan Pedalaman Baram

Disiarkan pada 08 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MARUDI: Projek pembinaan Jalan Miri–Marudi–Mulu–Long Lama (MMMLL) dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan di kawasan utara Sarawak, khususnya bagi penduduk luar bandar di Bahagian Miri dan Baram.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, projek MMMLL merupakan “projek rakyat” yang akan memberi impak menyeluruh, bukan hanya kepada Marudi, malah seluruh kawasan Baram.

Beliau memaklumkan bahawa tempoh siap projek dijangka dalam empat tahun, dan setelah siap kelak, jarak perjalanan dari Miri ke Marudi akan dipendekkan kepada hanya 30 minit berbanding masa perjalanan sedia ada.

“Jaringan jalan ini akan membuka lebih banyak peluang ekonomi, menaikkan nilai hartanah, serta memudahkan penyediaan kemudahan asas seperti elektrik, air dan perkhidmatan kesihatan ke kampung-kampung terpencil,” katanya dalam sesi Dialog Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum serta agensi kerajaan di sini pada Jumaat.

Sesi dialog tersebut turut memberi ruang kepada penduduk untuk melontarkan pertanyaan dan kebimbangan secara terus kepada agensi terlibat, menjadikan program ini sebagai platform penting untuk memperkukuh komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat.

Sesi anjuran Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah Utara (RECODA) itu diadakan di Dewan Suarah Marudi dengan kehadiran kira-kira 60 peserta.

Turut hadir Wakil Residen Bahagian Miri Doris Ujai Langat, Pegawai Daerah Marudi Rose Edward Tarang dan Pegawai Daerah Telang Usan Ezra Uda.-EDISI UKAS