SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menerima dua buah bas mini China Auto Manufacturers (CAM) Co-Star 28 tempat duduk sumbangan kerajaan Sarawak bagi memudahkan urusan pengangkutan pelajarnya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, sumbangan tersebut merupakan langkah penting dalam usaha menyediakan kemudahan menyeluruh serta persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada para pelajar UTS.
Menurutnya, UTS kini mempunyai lebih 4,000 pelajar yang kebanyakannya menetap di sekitar kampus, sekali gus memerlukan kemudahan pengangkutan yang efisien.
“Seperti yang anda tahu, tidak banyak pengangkutan awam di sekitar Sibu, melainkan mereka menggunakan perkhidmatan e-hailing seperti Grab, tetapi itu akan membebankan kewangan mereka.
“Jadi, dengan pemberian pengangkutan ini, ia dapat membantu pelajar hadir tepat waktu ke kuliah atau sesi pembelajaran.
“Bukan itu sahaja, satu lagi faktor penting kami sediakan pengangkutan adalah untuk keselamatan pelajar.
“Seperti yang sedia maklum, terdapat banyak isu mengenai keselamatan pelajar di negara ini dan UTS komited untuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk pelajar belajar,” katanya semasa majlis penyerahan bas mini berkenaan di sini, pada Jumaat.
Datuk Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka menjelaskan, meskipun UTS sudah memiliki bas sedia ada, saiz besar kenderaan tersebut menyukarkan pergerakan di laluan sempit berhampiran kawasan kediaman pelajar.
Tambah beliau, penggunaan bas mini yang lebih kecil dan mudah dikendalikan dapat memudahkan pergerakan, terutamanya pada waktu malam.
Beliau turut mencadangkan agar pihak pengurusan universiti menyediakan jadual perjalanan yang tetap dan kerap supaya kemudahan itu dapat dimanfaatkan secara optimum oleh pelajar.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan beberapa penambahbaikan sedang dirancang termasuk pembinaan asrama baharu dan penyediaan kafeteria yang lebih baik bagi memastikan keperluan asas pelajar dipenuhi.
Turut hadir pada majlis penyerahan mini bas itu ialah Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr. Kharudin Ab Hamid, Pendaftar Sumber Manusia Universiti UTS Jimmy De Rozario Abdul Rahman dan Pengarah Urusan Huong Seng Motor Trading Sdn Bhd Goh Kee Seng.-EDISI UKAS