Kejohanan Wushu, Pertandingan Tarian Singa & Naga Peringkat Sarawak Berlangsung Di Mukah 15-17 Ogos

Disiarkan pada 08 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Bahagian Mukah akan menjadi tuan rumah penganjuran Kejohanan Wushu Taolu & Wushu Sanda Terbuka 2025 serta Pertandingan Seni Tarian Naga dan Tarian Singa Peringkat Sarawak 2025 dijadual berlangsung di Dewan Serbaguna Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Mukah pada 15 hingga 17 Ogos 2025.

Kejohanan Wushu Taolu & Wushu Sanda Terbuka 2025 anjuran Persatuan Wushu Bahagian Mukah itu akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 15 dan 16 Ogos.

Manakala Pertandingan Seni Tarian Naga dan Tarian Singa Terbuka Kali Ke-4 anjuran Kelab Tarian Naga dan Singa Medan Setiaraja Mukah pula dijadualkan pada 16 dan 17 Ogos.

Bagi menyelaras pelaksanaan majlis perasmian kejohanan, satu Mesyuarat Penyelarasan telah diadakan pada Khamis bertempat di Pejabat Daerah Mukah.

Majlis perasmian bagi kedua-dua kejohanan berkenaan dijangka akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine serta ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi.-EDISI UKAS