Rumah Panjang Krusen Siu Akan Dibina Semula, Peruntukan RM540,000 Diluluskan di Bawah BEKR

Disiarkan pada 08 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Impian penduduk Rumah Panjang Kampung Krusen Siu untuk memiliki kediaman baharu akhirnya menjadi kenyataan apabila projek pembinaan semula rumah panjang tersebut yang musnah dalam kebakaran tahun lalu kini dimulakan secara rasmi.

Majlis penyerahan surat kontrak projek pembinaan semula rumah panjang itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik bertempat di Balai Raya Kampung Krusen Siu pada Jumaat.

Simbolik penyerahan kontrak oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Serian kepada kontraktor pelaksana, Semuja Engineering turut disaksikan oleh Dr. Simon, Datu Buckland serta pemimpin tempatan.

Menurut Dr. Simon, projek ini diluluskan di bawah program Bantuan Ehsan Kebakaran Rumah (BEKR) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM540,000 hasil kelulusan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak khususnya (JPBNS) atas keprihatinan dan tindakan segera meluluskan projek ini demi kesejahteraan lapan keluarga yang kehilangan tempat tinggal dalam insiden kebakaran tahun 2024,” ujar beliau.

Beliau turut berharap projek tersebut dapat disiapkan sebelum sambutan Hari Gawai Dayak 2026 agar para pemilik rumah dapat menyambut perayaan dalam suasana yang baharu dan lebih selesa.

Sementara itu, Datu Buckland menegaskan kepentingan mempercepatkan pelaksanaan projek agar kesemua lapan keluarga yang terjejas dapat kembali mendiami rumah sendiri dengan selamat dan selesa.

“Kos pembinaan bagi setiap unit rumah panjang ini dianggarkan sekitar RM70,000. Ini merupakan satu peruntukan yang baik daripada Kerajaan Sarawak dan saya berharap hasilnya nanti mampu menyediakan kediaman yang kondusif kepada pemiliknya,” jelas beliau.

Beliau turut mengingatkan pihak kontraktor dan JKKK agar bekerjasama rapat dengan JKR dalam menjalankan pemantauan berterusan demi memastikan kelancaran pelaksanaan projek tanpa sebarang kelewatan yang tidak munasabah.

“Kita tidak mahu ada sebarang alasan. Setiap projek kerajaan yang telah diluluskan dan dianugerahkan melalui kontrak harus dilaksanakan dengan segera dan tanpa kegagalan. Sekiranya gagal menyiapkan dalam tempoh ditetapkan kontraktor terbabit akan disenarai hitamkan,” tegas beliau.

Hadir sama Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph, Setiausaha Majlis Daerah Serian, Tay Guan Huat serta pegawai-pegawai berkaitan. -EDISI UKAS