Pendidikan Berteraskan STEM & TVET Jadi Fokus

Disiarkan pada 08 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SELANGAU: Kerajaan Sarawak komited memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai strategi utama membangunkan modal insan berkemahiran tinggi di negeri ini.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata peperiksaan penilaian semula akan diperkenalkan kepada murid Tahun 6 bagi subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris sebagai langkah menilai prestasi akademik mereka.

“Langkah ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk menilai kemampuan dan pencapaian pelajar di peringkat awal.

“Walaupun tiada lagi UPSR atau PMR, kita perlu satu kaedah untuk melihat keberkesanan sistem pendidikan kita, khususnya di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Kejohanan Sukan Tahunan SK Sungai Anak 2025 pada Khamis.

Dalam pasa itu, beliau turut menyeru agar ibu bapa, guru-guru dan wakil rakyat memberi sokongan penuh terhadap pelaksanaan penilaian tersebut, demi masa depan pendidikan anak-anak Sarawak.

Mengulas lebih lanjut, Dato Sri John Sikie berkata usaha memperkukuh bidang STEM dan TVET amat penting bagi memenuhi permintaan tenaga kerja mahir, terutama di kawasan industri seperti Bintulu.

Pada majlis sama, Dato Sri John Sikie mengumumkan peruntukan RM10,000 melalui dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Anak bagi menyokong program pendidikan dan pembangunan pelajar sekolah tersebut.-EDISI UKAS