SADONG JAYA: Bilik serbaguna Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Buluh/Senangeh bernilai RM100,000 menjadi simbol kesungguhan kerajaan Sarawak dalam memastikan anak-anak di luar bandar menikmati persekitaran pembelajaran yang kondusif dan setanding dengan sekolah di kawasan bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, bilik serbaguna tersebut berfungsi sebagai ruang pelbagai guna bagi mesyuarat, kelas tambahan, aktiviti kokurikulum, latihan pelajar serta program rasmi sekolah, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif.
“Dengan adanya bilik serbaguna ini, pihak sekolah akan dapat melaksanakan pelbagai aktiviti dalam suasana yang lebih selesa, tersusun dan kondusif.
“Ia akan memberi ruang yang lebih baik untuk guru mengadakan aktiviti pendidikan, manakala murid pula dapat belajar dan beraktiviti dengan lebih selesa,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan bilik tersebut pada Jumaat.
Justeru, Awla menyeru warga sekolah agar memanfaatkan bilik serbaguna ini sebaik mungkin dan menjaganya demi kegunaan generasi akan datang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas komitmen berterusan membantu menaik taraf sekolah luar bandar melalui peruntukan RTP, selain mengiktiraf peranan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan, pihak kontraktor dan pihak sekolah yang memastikan projek siap mengikut spesifikasi. -EDISI UKAS