KUCHING: Kerjasama dua hala antara komuniti awam dan pasukan keselamatan negara amat penting dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.
Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Khairul Anuar Abd Aziz berkata, menerusi Program Jiwa Murni Pelan Strategik MINDEF (PSM) Peringkat 1 Divisyen, hubungan erat yang terjalin akan terus diperkukuhkan.
“Pelan Strategik MINDEF ini adalah usaha menyeluruh bagi memastikan komuniti awam dan tentera saling memahami peranan masing-masing.
"Semangat Total Defence perlu difahami, dihayati dan diamalkan oleh semua lapisan masyarakat,” katanya demikian dalam program tersebut di Sekolah Kebangsaan Wira Jaya, Penrissen pada Jumaat.
Tambahnya, sambutan baik daripada warga sekolah membuktikan semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan masyarakat masih utuh.
Ujarnya, pertahanan negara tidak hanya bergantung kepada kekuatan ketenteraan semata-mata, tetapi juga kekuatan semangat komuniti awam.
Kemuncak acara menyaksikan Majlis Perasmian Pelan Strategik MINDEF (PSM) – Engineering Civic Action Programme (ENCAP).
Antara projek utama yang diberi tumpuan termasuk naik taraf laluan pejalan kaki berbumbung SK Wira Jaya di samping pelaksanaan Medical Civic Action Program (MEDCAP) dan Dental Civic Action Program (DENCAP) yang memberi manfaat kesihatan kepada warga sekolah dan komuniti awam di kawasan sekitar. -EDISI UKAS