46 Pelajar Cemerlang SMK Lundu Terima Insentif

Disiarkan pada 08 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SEMATAN: Seramai 46 pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu menerima insentif penghargaan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah hotel pada Khamis.

Majlis Penyerahan Insentif PIBG Kepada Pelajar Cemerlang SPM dan STPM Tahun 2024 itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang yang turut dihadiri Pengetua SMK Lundu, Mohd Azizan Madihi dan Yang Dipertua PIBG SMK Lundu, Mohd Azim Abdullah.

Daripada jumlah tersebut, 30 pelajar memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala 16 pelajar mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 dan ke atas dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Dalam ucapannya, Billy menzahirkan rasa bangga atas pencapaian cemerlang para pelajar SMK Lundu dan mengucapkan tahniah kepada semua penerima serta para guru yang telah banyak berkorban dan berusaha memastikan kejayaan sekolah.

Beliau turut menasihatkan para pelajar agar tidak mudah berputus asa dan terus berusaha mengejar kecemerlangan demi masa depan diri, keluarga, masyarakat, negeri dan negara.

“Gunakan segala kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan lagi pencapaian anda.

“Pilihlah kursus yang bersesuaian apabila melanjutkan pelajaran ke universiti agar lebih mudah mendapat pekerjaan kelak,” ujarnya.

Selain itu, Billy turut mengingatkan pelajar agar bijak memanfaatkan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dengan sebaik mungkin dalam proses pembelajaran dan tidak menyalahgunakan teknologi tersebut.

Beliau turut berharap agar anak-anak muda cemerlang yang dilahirkan dari SMK Lundu akan menjadi aset penting dan menyumbang khidmat bakti yang terbaik kepada negara pada masa akan datang. -EDISI UKAS