Billy Sujang Tinjau Projek RTP Di Opar

Disiarkan pada 08 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang turun padang meninjau beberapa projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang sedang dilaksanakan di Kampung Bokah, Kampung Senibong dan Kampung Titiakar pada Khamis.

Lawatan ini bertujuan bagi melakukan pemeriksaan akhir terhadap status pelaksanaan projek-projek RTP yang sedang giat dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Kuching.

Antara projek yang dilawati termasuk Projek Bina Baru Jalan Pertanian Punggu Penoak di Kampung Bokah bernilai RM150,000, yang dijangka memudahkan akses komuniti petani ke kawasan pertanian serta meningkatkan hasil pengeluaran mereka.

Selain itu, Billy turut meninjau Projek Naik Taraf Sistem Perparitan di Kampung Senibong dan Kampung Titiakar, masing-masing bernilai RM150,000 dan RM50,000.

Menurut Billy, projek ini diharap dapat menyelesaikan masalah perparitan serta mengurangkan risiko banjir yang sering dihadapi penduduk ketika musim hujan.

Justeru katanya, pemantauan secara berterusan adalah penting bagi memastikan setiap projek dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat terus kepada rakyat.

“Sebagai wakil rakyat, saya akan terus memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan supaya tiada kelewatan dan setiap sen peruntukan digunakan sebaik mungkin demi kesejahteraan masyarakat di kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui semasa lawatan tersebut. -EDISI UKAS