Dato Sri Fatimah Tinjau Pelaksanaan Projek Pembangunan di Dalat

Disiarkan pada 08 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


DALAT: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah telah melakukan lawatan kerja ke beberapa tapak projek pembangunan di sekitar Dalat, pada Khamis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu memulakan lawatan di Kampus Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Dalat, yang dijangka berperanan sebagai hab latihan teknikal dan vokasional utama di kawasan luar bandar khususnya untuk meningkatkan peluang pendidikan dan kemahiran dalam kalangan belia.

Seterusnya, Dato Sri Fatimah turut meninjau pembangunan Pusat Pemprosesan Baja Organik Dalat (Teparok), yang mana ia dibangunkan sebagai inisiatif memacu pertanian mampan dan pusat ini akan memanfaatkan sisa pertanian tempatan untuk menghasilkan baja organik berkualiti, sekaligus menyokong usaha meningkatkan produktiviti pertanian secara mesra alam.

Lawatan diteruskan ke beberapa projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang sedang giat dilaksanakan dengan fokus utama menambahbaik infrastruktur asas dan keselamatan awam bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.

Antara projek yang dilawati ialah pembinaan benteng perlindungan di Sekolah Kebangsaan Kut Tengah, yang dirancang untuk mengatasi risiko hakisan dan banjir yang sering menjejaskan keselamatan murid serta kakitangan sekolah.

Selain itu, Dato Sri Fatimah turut melawat tapak projek pembinaan benteng di Muara Sungai Ud Fasa 1, yang mana projek ini akan memberi impak positif terhadap kesejahteraan komuniti, khususnya ketika musim hujan dan fenomena air pasang besar.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh dan Pegawai Daerah Dalat, Mathew Hubert.-EDISI UKAS