SRI AMAN: Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh menaruh keyakinan tinggi terhadap pasukan sepak takraw MAKSAK Sri Aman yang akan beraksi dalam Kejohanan Sepak Takraw MAKSAK Sarawak 2025 yang bakal berlangsung di Dewan Stephen Kalong Ningkan, Betong bermula esok hingga 10 Ogos ini.
Keyakinan itu dizahirkan beliau ketika menerima kunjungan hormat daripada barisan 15 pemain dan pengurusan pasukan MAKSAK Sri Aman yang diketuai jurulatih Abang Ahmad Abang Suhailie selaku pengurus pasukan MAKSAK Sri Aman.
Mahra menekankan bahawa kekuatan utama pasukan terletak pada semangat kerjasama dan keserasian antara pemain, jurulatih dan pengurusan pasukan.
“Saya difahamkan pemain-pemain telah menjalani latihan intensif sejak pemilihan akhir sebulan lalu. Kerjasama erat dalam pasukan akan menjadi faktor penentu kejayaan di kejohanan nanti,” katanya.
Beliau turut memuji semangat berpasukan yang ditunjukkan sepanjang sesi latihan yang berlansung.
Menurut Mahra lagi, skuad sepak takraw MAKSAK bukan sahaja membawa misi sukan, tetapi turut menggalas tanggungjawab sebagai duta kepada imej Bahagian Sri Aman di pentas negeri.
“Saya berharap pemain-pemain dapat menjunjung disiplin tinggi, mempamerkan semangat kesukanan dan menjaga nama baik Sri Aman sepanjang kejohanan ini,” ujar beliau.
Beliau percaya penyertaan aktif dalam kejohanan seperti ini turut memberi impak positif kepada pembangunan modal insan dan sukan akar umbi di peringkat daerah.
Mahra turut menyuntik semangat kepada pasukan, yang kini mengintai peluang untuk menamatkan badi kejuaraan sejak beberapa edisi lalu.
“Saya yakin semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh pemain akan menjadi pemangkin kepada kejayaan. Kita mahu pasukan Sri Aman bukan sahaja bertanding, tetapi melakar sejarah dan kembali menjulang kejuaraan,” tegas beliau.
Pengurus pasukan, Abang Ahmad menyifatkan barisan kali ini sebagai paling bersedia dari segi fizikal, taktikal dan mental.
"Kami semua sudah bersedia. Tekanan itu ada, tetapi kami lebih fokus, lebih matang dan lebih bersemangat kali ini. Kami mahu menamatkan kemarau kejuaraan."
Kejohanan MAKSAK Sarawak 2025 akan menghimpunkan pasukan dari seluruh bahagian negeri Sarawak, menjadikan pentas ini sebagai ujian sebenar bagi barisan pemain Sri Aman yang membawa harapan tinggi masyarakat setempat.