Cabaran NAO: 100 Petinju Muaythai Turun Berentap

Disiarkan pada 07 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Seramai 100 petinju muaythai bakal berentap dalam Cabaran NAO bakal berlangsung di NAO Muaythai Stadium Nasi Abe Samarahan Sarawak pada 8-9 Ogos ini.

Kejohanan ini merupakan anjuran bersama Kelab Muaythai Kenyalang (MTK), Nasi Abe Original, Persatuan Muaythai Kuching, Persatuan Muaythai Samarahan dan NAO Pro Fight.

Ia bakal mempertandingkan beberapa kategori berat amatur, semi profesional dan profesional.

Mencuri tumpuan empat aksi profesional membabitkan wakil Kelab Muaythai Kenyalang (MTK).

Mereka ialah Adek yang akan menentang Syeed (War 15), Aiman berdepan Kilat (Sting), Razie menentang Nuno (Sting) dan Adzrif menanti Danish (Legacy).

Tidak kurang menariknya pertembungan Semi Profesional mempertemukan Ahmad Shahrizal Wafi (Legacy) dan Ahmad Shahrizal Wafi (Legacy) manakala Mohammad Amiruz (DMT X RENTAP) berdepan Aizan Danish (MTK).

Pengunjung juga akan disajikan pertembungan istimewa melibatkan Jeffrison (MTK) dan Mokhairyl Aminuddin (Sting).

Kejohanan ini merupakan kesinambungan kepada Cabaran NAO yang dianjurkan pada Julai lepas juga di venue sama, sebagai platform untuk memperkasakan sukan muaythai di sini.

Menyambut baik usaha berkenaan, Presiden Persatuan Muaythai Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim menyifatkan inisiatif diambil oleh pihak kelab Muaythai Kenyalang, Nasi Abe dan jawatankuasa penganjur kejohanan ini sangat baik dalam membantu persatuan mengangkat lagi mutu sukan muaythai.

“PMNS mengucapkan syabas kepada penganjur atas komitmen berterusan dalam menganjurkan cabaran seperti ini.

“Sermemangnya ia sangat penting bagi kita untuk mencungkil seramai mungkin atlet baharu yang boleh mewakili Sarawak lebih-lebih pada SUKMA 2026 kelak,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau turut berterima kasih Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) atas sokongan berterusan terhadap apa jua program anjuran PMNS.

Sesi timbang akan diadakan pada 8 Ogos manakala perlawanan amatur berlangsung dari jam 9 pagi hingga 6 petang pada 9 Ogos dan diteruskan dengan perlawanan semi profesional dan profesional bermula jam 8 malam. - EDISI UKAS